Jodohku,
Aku buat blog ini untuk kamu.
Akan aku curahkan semuanya di sini, segala yang ingin aku katakan kepadamu sementara aku menanti kedatanganmu dalam hidupku.
Ya, idea ini bukan idea originalku. Tapi sememangnya khas untuk kamu, ya jodohku.
InsyaAllah bila suatu hari nanti kita ketemu, aku akan minta kamu baca blog ini supaya kamu faham.
Mungkin akan jadi ujian untuk kamu sebab aku tahu betapa lelaki tidak gemar membaca. Tapi siapa tau kan, Allah mungkin ciptakanmu, ya jodohku, dengan kesabaran untuk menghabiskan masamu dengan membaca.
InsyaAllah.
Jodohku,
Hari ini, aku terima hakikat bahawa kau masih jauh dan mungkin lama baru kita akan ketemu.
Hari ini, aku menangis di kelas, tidak habis-habis airmataku dari semalam, ya jodohku. Menangis kerana lelaki yang aku suka sudah bertunang.
Begitu kuat hatiku mengatakan dialah lelaki untukku. Akhirnya, ya jodohku, aku bertemu seorang lelaki yang bilamana aku bayangkan masa depan dengannya, semuanya jelas kulihat. Tiada pernah berlaku sebelum ini dengan bekas-bekas teman lelakiku.
Patah sungguh hatiku, jodohku. Betapa tingginya harapanku, mengharapkan seorang ustaz menjadi imamku.
Ya, dia seorang ustaz. Buat pertama kalinya aku jatuh cinta dengan seorang lelaki yang baik. Aku jatuh cinta dengan agamanya dan dengan kelucuannya.
Patah sungguh hatiku, jodohku. Hancur.
Tapi Allah berikan aku kesedaran. Dia bukakan hatiku agar menerima ujian ini dengan hati yang, kalaupun tidak sepenuhnya tabah, tetapi cukup-cukuplah kuat untuk tidak terus hancur.
Jodohku, aku tidak tahu siapa engkau dan di mana engkau sekarang.
Bagaimana rupamu, bagaimana suaramu, bagaimana tingkahmu.
Izinkan aku mengadu tentang kesedihanku, jodohku.
Selama ini, aku tidak menginginkan kehidupan berumah tangga yang biasa-biasa sahaja. Aku begitu yakin aku layak untuk dapat lebih. Aku yakin aku tidak akan hidup biasa seperti umiku dan mamaku.
Aku malahan tidak ingin, ya jodohku. Aku mati-matian berharap aku tidak hidup seperti umi dan mama, hidup yang cliche. Menjadi isteri, menjadi ibu di mana gol utama kehidupanku adalah kejayaan anak-anakku dan punya sebuah rumah yang cukup untuk aku dan keluargaku. Aku mahu lebih, ya jodohku.
Betapa tamaknya aku. Lalu Allah hantar hamba Allah ke dalam hidupku.
Aku bertemunya sewaktu menjalani SBE kedua di sekolah umi. Dia banyak menyakitkan hatiku dengan kata-katanya tetapi pada masa yang sama dia banyak buat aku ketawa. Sedar tidak sedar, aku jatuh cinta.
Dia belaar nun di semenanjung Malaysia dan aku di Sabah.
Selepas berakhirnya SBE, kami kembali kepada kehidupan masing-masing. Bimbang peluang ini hanya akan datang sekali seumur hidup, aku memberanikan diri menghubunginya melalui SMS. Dia membalas dan kami mula berkawan sejak itu. Aku mati-matian meyakinkan diriku aku hanya ingin berkawan dengannya, ya jodohku, meskipun aku tahu aku lebih dari suka pada dirinya.
Ya jodohku, kerana lelaki itu, aku mula mengimpikan rumah tangga seperti yang dimiliki umi dan mama.
Bila kutanya tentang bagaimana mahu tahu jika dia untukmu, rakanku menjawab, 'Bila engkau cuba bayangkan sebuah masa depan dengannya, kau lihat semuanya dengan jelas. Kau akan nampak semuanya tanpa rasa ragu-ragu.'
Dan memang jelas. Semuanya.
Tapi ya, dia bukan jodohku. Allah sudah tunjukkan. Maka aku pelajari bahawa tidak semestinya apa yang kita bayangkan dalam kepala kita akan menjadi sebuah realiti.
Airmataku jatuh lebih banyak untuk lelaki ini berbanding bekas-bekas kekasihku, ya jodohku. Sakitnya tidak terperi di dalam hati ini bila aku terpaksa menerima hakikat yang dia bukan jodohku.
Allah kemudian membuka pintu hatiku agar menerima kenyataan yang engkau, jodohku, akan datang suatu hari nanti. Aku tidak perlu mengejar.
Maka, jodohku, aku di sini. Setia menantimu. Datanglah.
Sebelum mengakhiri, peringatan dariku, jangan lupa solatmu, ya jodohku.
Jagalah hatimu sebagaimana aku akan menjaga hatiku mulai sekarang.
Jagalah imanmu sebagaimana aku akan usahakan mulai sekarang.
Sampai ketemu, jodohku.
Assalamualaikum.